Wednesday, July 30, 2014

Kecemasan Untuk Gaza. Memories 4.

Bismillah hirrohmanirrohim.

Sambungan dari Memories 3.

Palestin dan Gaza.


Dan hari ini kami bergabung kembali. Semalam sebagai sejarah, sepatutnya ada kalanya memberi pengajaran untuk menempuh hari mendatang. Setiap hari-hari yang kita lalui adalah kehidupan, tetapi bukanlah kehidupan yang berupa kehidupan di dunia semata-mata, bukanlah kehidupan untuk fizikal diri semata-mata, tetapi kehidupan yang dimaksudkan adalah kehidupan hidupnya hati. Hati yang hidup bukan sahaja melihatkan hidupnya fizikal tuan badan, akan tetapi menunjukkan betapa hidupnya hati yang mempunyai hubungan dengan Allah swt. Itulah kehidupan sebenar. Begitulah hebatnya kehidupan dan kekuatan hati. Di Gaza, anak-anak kecilnya hebat. Menggenggam sebutir batu jalanan, hendak dia hancurkan kereta-kereta kebal dengan batu tersebut, harapannya tinggi serta berjiwa besar. Kerna mereka-mereka ini hati-hatinya hidup, hidup dengan mencintai jihad, hidupnya anak-anak Gaza dengan Al Quran. Subhanallah.

Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). 
Faatir : 32

Dan kita di Malaysia sepatutnya meletakkan diri kita sebahagian kekuatan untuk rakyat-rakyat Gaza. Dan bagi aku, apalah sangat sumbangan yang boleh aku bantu. Sekadar doa, mungkin. Tapi nak merasai sedikit kesusahan mereka, adalah jauh sekali. Kalaupun kami berdiri berjam-jam, berterikkan matahari, bermandian peluh, itu semua sumbangan yang sangat kecil. Menharapkan simpati masyarakat Malaysia, untuk bersama-sama membantu saudara-saudara kita di Gaza.

Bazar Ramadhan Stadium Perak.
Bazar ini merupakan venue tumpuan yang dinanti-nantikan. Di khabarkan, agak besar bazarnya di sini. Ramai pula pengunjungnya. Cuaca pun agak panas dan terik. Alhamdulillah.. sebahagian gambar-gambar untuk tatapan bersama.


Melihatkan usaha-usaha kami ini yang rata-ratanya dari golongan muda, telah menarik minat beberapa individu memberi respon positif pada kami. Ada yang berhajat dan berminat menyertai sebagai relawan. Ini menandakan betapa orang ramai juga menghargai usaha-usaha baik ini. Dan tidak lupa juga ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama-sama dengan relawan kami. Bagi aku, relawan-relawan ini merupakan relawan pilihan Allah. Sebab ada di kalangan kami, yang korbankan cuti kerja mereka, datang dari Taiping dengan bermotosikal. Walhal tidak ada sesen pun duit minyak atau upah sebagainya. Mereka ikhlas. InsyaAllah..

Bersambung Memories 5.

21/07/2014 Isnin
Bazar Ramadhan Stadium Perak





Read More...

Friday, July 25, 2014

Kecemasan Untuk Gaza. Memories 3.

Bismillah hirrohmanirrohim.

Sambungan dari Memories 2.

Palestin dan Gaza.


Semangat semalam kembali menyubur ke hari ini. Terkenang kan usaha-usaha kami semalam, mudah-mudahan Allah terima amal-amal kami. Buat pengetahuan semua, apabila kita berusaha untuk membahagiakan (membantu saudara-saudara di Gaza) maka Allah akan membahagiakan kita. Tidak kira kecil atau besar pengorbanan itu, ianya merupakan salah satu cabang untuk meraih ganjaran. Allah tidak nilai dari segi jumlah dan kuantiti usaha kita serta hasilnya, tapi Allah menilai apa yang kita usahakan dalam mencari redho Allah.  Hari-hari tetap berlalu. Rakyat Gaza tetap terus menerus dihimpit kesempitan dan kesengsaraan. Itulah modal dan motivasi kami untuk lebih kuat bekerja. Andailah tiada penggerak-penggerak 'Gaza' ini di segenap penjuru dunia, mungkin sudah lama Gaza lenyap dari bumi Palestin. Allahhuakbar. Tetapkanlah hati-hati kami. 

Dan hari ini kami berada di Bazar Ramadhan Tmn Perpaduan. Bersama-sama dengan 10 relawan. Kali ini taklimat sebelum misi amat mementingkan niat. Niat sebelum bekerja dan semasa bekerja. Mengajak semua relawan sentiasa memperbaharui niat, kalau-kalau niat kita tidak jelas dan terganggu dengan matlamat-matlamat lain.

Bazar Ramadhan Tmn Perpaduan.

 
 
 
 
 
 
 
Setiap lokasi bazar yang kami pergi, berbagai ragam dan karenah manusia. Ada yang menaikkan semangat, ada yang menggelikan hati dan tidak kurang jaga kata-kata yang melemahkan kami. Begitu agaknya asam garam seorang pengutip derma pembangunan sekolah, pengemis-pengemis serta orang-orang kurang upaya. Mungkin sedikit apa yang kami rasa dan lalui.

Aku jadi semangat. Ada makcik membisik, Semoga Islam Menang, kata beliau. InsyaAllah makcik, doakan. Kata-kata makcik buat aku tersentak. Air mata bergenang, nyaris spek mata hitam menyelamat keadaan. Dalam hati membisik, Ya Allah, saksikan amal-amal aku ini. Jadikan penyelamatku di akhirat nanti.
Datang pula seorang pakcik pula, menghulurkan wang lalu memasukkan ke dalam poket seluar, Nah ambil untuk berbuka. Tak tergamak nak guna duit itu, aku masukkan ke dalam tabung. Ada yang menepuk bahu, anak-anak muda bagus katanya. Naik semangat, ikhlas kena kawal. Perkongsian-perkongsian sebegini kadang-kadang boleh menaikkan kekuatan untuk aku terus beramal. Pujian dan kejian sebegini memberi kecenderongan untuk terus kekal beramal sehingga selesai misi ini. InsyaAllah...

Bersambung Memories 4.

20/07/2014 Ahad
Bazar Ramadhan Tmn Perpaduan




Read More...

Tuesday, July 22, 2014

Kecemasan Untuk Gaza. Memories 2.

Bismillah hirrohmanirrohim.

Sambungan dari Memories 1.

Palestin dan Gaza.

Syukur lagi. Hari-hari yang baik. Bertambah-tambah lagi berbagai nikmat. Alangkah untungnya kita empunya diri. Alangkah untungnya berada di tanah Malaysia bumi Allah ini. Awal-awal pagi dinihari, seusai bersahur bersama keluarga, buka telefon buka Facebook. Allahuakbar, Gaza di serang lagi. Masih belum ada sinar keamanan di sana, tatkala kita bangun dari tidur semuanya dalam keadaan baik dan aman. Tak kan satu doa pun kita tak sampaikan pada saudara kita di Gaza? Mereka berkata, "Kami memerlukan doa kalian. Kalian juga bersama kami. Bantulah kami. Sesungguhnya Allah bersama kita semua." Sungguh keras hati kita. Tiada tindakan. Hanya mampu mencelakakan si pengganas, hanya mampu menggelengkan kepala. Benarlah kata Rasulullah, "Barangsiapa yang tidak ambil peduli terhadap saudaranya, mereka bukanlah dari kalanganku." Zalim kan kita. Muda-mudahan Allah bagi petunjuk dan hidayah pada kita.
Hari ini kami mengaturkan langkah. Menyusun relawan-relawan ikhlas yang turun ke celahan masyarakat. Kali ini, semaraknya semangat kami. Hari kedua, hari luar biasa buat para relawan. Keadaan terik mentari pada petang itu, tiada sedikit pun rasa menggangu akan kedudukan kami. Itu juga nikmat. Rupanya relawan di bazar ini, menunjukkan jumlahnya yang ramai. Lebih daripada kemampuan. Betapa beruntungnya relawan-relawan ini, Allah pilih untuk mereka korbankan masa-masa mereka bersama keluarga. Dan keputusan dibuat, relawan dipecahkan kepada 2 kumpulan untuk 2 tapak bazar. Pertama di Bazar Tasek dan yang kedua di Bazar Tmn Cempaka. Aku tinggalkan mereka, dan kami berlima bergerak menuju ke Tmn Cempaka. Alhamdulillah, kita merancang, Allah juga sebaik perancangan.

Bazar Ramadhan Tasek
Mereka-mereka ini menginfakkan tenaga mereka di jalan Allah. Gambar sebagai peganti bicara.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
Semua urusan di permudahkan. Apa yang menarik di Bazar Ramadhan Tasek, kelihatan kanak-kanak bersama relawan memeriahkan suasana kutipan. Ini menyemarakkan lagi semangat masyarakat memberi sumbangan. Permintaan mafla juga tidak mengecewakan. Semua jumlah mafla habis terjual. Tahniah dan terima kasih buat penduduk Tasek. Allahhuakbar.


Bazar Ramadhan Tmn Cempaka
Inil pula relawan di sini. Biar gambar berbicara. Apa yang menarik perhatian di sini, sebilangan besar ramai juga golongan bukan Islam yang turun sama menyumbang. Apa yang cuba aku tekankan, isu Gaza bukan lah isu untuk Islam semata-mata, bahkan ia juga merentasi semua benua mengenai keprihatinan mengenai kemanusiaan juga. Ingat lagi kisah tragis kapal Marvi Marmara pada satu ketika dahulu.? Aktivis-aktivis di atas kapal tersebut semuanya didatangkan dari berbagai bangsa dan agama. Semua bersatu dalam menentang untuk memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan pada seantero dunia. Ya, hasilnya seluruh pelusuk bumi celik akan kisah tragis yang berlaku pada Marvi Marmara. Maka benarlah, Israel Zionist adalah pengganas dunia sebenar.
 
 
 
 
 
 
 

Tampak letih. Tapi rasa bertenaga apabila ada saja penyumbang-penyumbang yang masih menghulurkan sumbangan walaupun masa menunjukkan 7.15 petang. Alhamdulillah. Penyumbang pemurah, mudah-mudahan Allah berkati sumbangan-sumbangan penduduk Taman Cempaka.


Bersambung Memories 3.

19/07/2014 Sabtu
Bazar Ramadhan Tasek & Tmn Cempaka






Read More...

Monday, July 21, 2014

Kecemasan Untuk Gaza. Memories 1.

Bismillah hirrohmanirrohim.

Palestin dan Gaza.

Saat Gaza di serang hebat, bersama sahabat-sahabat KBHI, kami terpanggil untuk membuat sesuatu untuk membantu nasib saudara2 kami di Palestin khususnya di Gaza. Kami berpakat. Adakah kalian sanggup bersamaku? Ya.. demi mencari redho Allah, mengenang nasib saudara kami di Gaza. Ayuhlah kita bersama2 untuk turun ke medan lautan masyarakat, walaupun bukanlah medan sebenar di Gaza. Kami merancang untuk turun ke bazar-bazar Ramadhan sekitar Ipoh. Kita tahu, Allah pasti menilai. Lagikan pula dalam bulan Ramadhan bulan paling istimewa. Tabung Kecemasan Palestin di lancarkan.. Alhamdulillah.

“Kasihilah sesiapa yang berada di bumi, nanti akan mengasihi kamu, sesiapa yang berada di langit” Hadith riwayat at-Tarmizi.
 

Pelancaran lokasi pertama. Allah Maha Memudahkan. Semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun aku sekejap bersama mereka. Bersama kami adalah relawan yang tiada sesen pun atau tanpa imbuhan di janjikan, apatah lagi berbekal walau sehelai baju pun. Bahkan mereka juga menginfakkan sedikit wang2 mereka walaupun mereka ini juga relawan peminta sumbangan. Subhanallah. Mereka yakin, Allah membalasnya. Tahukah kalian, apa yang bersarang di fikiran kami? Di antara kami, ini adalah pengalaman baru dalam hidup kami. Berdepan dengan ratusan manusia, sudah tentu perasaan MALU menyelubungi. Sungguh, dan pasti kalian juga begitu. Pertamanya, kami membawa risalah dakwah, bahkan mengenai penderitaan ummah atau saudara2 kami di Gaza, ianya juga merupakan kesedaran kemanusiaan untuk manusia sejagat, tidak kira apa bangsa, agama, kulit dan rupa. Mesti cakna dan perlu ada sensitiviti.

Orang yang membantu orang lain kerana Allah, akan dianugerahkan:-

1. Diganti pemberiannya dengan yang lebih baik
2. Diberikan pemberiannya dengan sepuluh kali kebaikan
3. Di beri perlindungan Arasy ketika di padang mahsyar nanti
4. Dan lain-lain lagi.

Bagi aku, perasaan malu ini, biarlah kita telan sedalam-dalamnya. Jauh di lubuk hati, Allah pasti campakkan ke dalam hati perasaan berani dan kuat. Hati tidak berhenti mengungkap zikrullah. Mengharapkan belas ihsan Allah. Alhamdulillah. Semakin lama, semakin ia membara, Jauh sekali rasa perasaan malu, entah hilang mana perginya si pemalu.  Ujian permulaan yang membuatkan semakin bersemangat dalam mengorak langkah untuk lokasi yang akan datang. Sambutan menggalakkan. Baik dari penyumbang, bahkan peniaga-peniaga bazar sekitarnya. Mereka juga mengharapkan apa yang kami harapkan, membantu saudara-saudara mereka di Gaza. Kutipan memberangsangkan. Syukran Robb. Engkau buka pintu hati buat mereka yang menyumbang.

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” 
Muhammad : 7
 
Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Al-Hajj : 40

Bersambung Memories 2.

18/07/2014 Jumaat
Bazar Medan Gopeng



Read More...
HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010