Tuesday, September 7, 2010

RAYA - Perkara2 Sunat di Hari Raya



1. Menghidupkan Malam Hari Raya
As-Syeikh Qulyubiy di dalam kitab Hasyisyatan telah menyebutkan bahawa sunat hukumnya menghidupkan malam hari raya dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isyak berjemaah serta berazam menunaikan sembahyang Subuh (dengan berjemaah).


2. Melaungkan Takbir Hari Raya
Sunat melaungkan takbir dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid, pasar atau sebagainya pada malam hari raya fitrah dan hari raya adha selepas terbenamnya matahari sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang hari raya. Takbir ini dinamakan mursal dan mutlaq (takbir yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan bila-bila sahaja). Sementara takbir muqayyad (takbir yang terikat dan dilaungkan sebaik sahaja selesai sembahyang fardhu, sunat, tunai atau qadha), takbir muqayyad ini khusus bagi hari raya adha dan bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bermula takbir tersebut pada Subuh hari arafah sehinggalah asar di akhir hari tasyriq.

Apabila bertepatan malam hari raya itu dengan malam Jumaat, menurut asy-Syibramalisiy, lakukanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca surah al-Kahfi dan berselawat kepada Nabi Shallahu alaihi wassalam.

Orang yang menunaikan haji atau umrah tidak disunatkan bertakbir hari raya adha melainkan selepas dia mengerjakan sembahyang zohor di hari raya Aidil Adha. Mereka disyariatkan bertalbiah di malam hari raya itu.

3. Makan Sebelum Sembahyang Hari Raya Fitrah Dan Sunat Tidak Makan Sebelum Sembahyang Hari Raya Adha
Sunat makan terlebih dahulu sebelum mengerjakan sembahyang hari raya fitrah dan sunat menahan diri sebelum mengerjakan sembahyang hari raya adha.

Pada hari raya fitrah itu sunat makan beberapa biji tamar (dengan bilangan yang ganjil) sebelum mengerjakan sembahyang hari raya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu anhu, katanya:
"Rasulullah Shallahu alaihi wasallam tidak keluar di awal pagi hari raya fitrah sehinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. Berkata Murajja bin Raja: Diceritakan kepadaku Ubaidullah katanya: Diceritakan kepadaku Anas daripada Nabi Shallallahu alaihi wasallam: dan Baginda memakannya (tamar) dengan bilangan ganjil."

4. Mandi Sebelum Sembahyang Hari Raya
Sunat mandi sebelum mengerjakan sembahyang hari raya sebagaimana disunatkan mandi sebelum sembahyang Jumaat. Ini kerana hari tersebut berkumpul ramai orang untuk mendirikan sembahyang.

Demikian juga sunat berharum-haruman, menghilangkan bulu-buluan, memotong kuku dan menghilangkan bau-bauan pada badan dan pakaian. Dalam hal memotong kuku dan menghilangkan bulu-buluan ini tidak disunatkan bagi mereka yang hendak melakukan ibadat korban melainkan setelah menyembelih binatang korbannya.

Sementara waktu mandi pula, menurut pendapat yang ashah dan disepakati oleh ulama-ulama Syafieyyah harus mandi selepas fajar atau sebelumnya.

5. Memakai Pakaian Yang Cantik
Sunat memakai pakaian yang terbaik. Afdhal memakai pakaian berwarna putih. Jika seseorang itu terdapat dua pakaian yang sama terbaik dan eloknya, maka yang putihlah diutamakan. Jika pakaian yang terbaik itu bukan berwarna putih, maka pakaian tersebut lebih afdhal daripada pakaian yang putih. Sunat juga memakai serban.

Menurut ulama-ulama Syafieyyah, bahawa memakai pakaian yang terbaik, berharuman, mandi, menanggalkan bulu-buluan dan menghilangkan bau-bauan, selain disunatkan bagi orang yang pergi mengerjakan sembahyang hari raya, bahkan disunatkan juga bagi yang duduk di rumah. Ini kerana hari tersebut merupakan hari perhiasan.

6. Makmum Lebih Awal Datang Daripada Imam
Sunat bagi makmum datang awal selepas fajar bagi mengambil tempat duduk untuk mengerjakan sembahyang hari raya. Sementara sunat bagi imam keluar apabila tiba waktu untuk berjemaah sembahyang hari raya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri yang bermaksud "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam selalu keluar pada hari raya adha dan hari raya fitri, lalu Baginda terus memulakan dengan sembahyang (hari raya). (Hadis muttafaq alaihi)
7. Berjalan Kaki Ke Tempat Mengerjakan Sembahyang
Sunat berjalan kaki ketika hendak menuju ke tempat mengerjakan sembahyang hari raya dan jangan menaiki kenderaan melainkan ada uzur seperti sakit, lemah atau sebagainya. Jika dia menaiki kenderaan juga, itu tidaklah mengapa. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam berjalan kaki ketika hendak menuju ke tempat sembahyang hari raya, kerana itu adalah sesempurna akhlak dan tinggi kedudukan.

8. Pergi Ke Masjid Melalui Jalan Yang Panjang Dan Balik Melalui Jalan Pendek
Sunat bagi setiap orang yang hendak pergi ke tempat sembahyang hari raya, melalui jalan yang lebih panjang dan balik daripada sembahyang melalui jalan yang lain yang lebih pendek. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam di hari raya mengikuti satu jalan kemudian balik mengikut jalan yang lain." (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut Imam asy-Syafie, sunat bagi imam ketika balik, berdiri di suatu tempat dengan menghadap kiblat sembil berdoa.

9. Menyeru Dengan Seruan
Sunat menyeru untuk mendirikan sembahyang dengan seruan ketika hendak mengerjakan sembahyang hari raya. Ini diqiaskan dengan sembahyang kusuf, di mana disunatkan padanya menyeru dengan seruan tersebut. Tidak ada seruan azan dan iqamah bagi sembahyang hari raya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam mengerjakan sembahyang hari raya tanpa azan dan iqamah." (Hadis riwayat Abu Daud)

Dari www.ustazmelaka.net.

No comments:

HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010