Tuesday, November 1, 2011

Aku & Blog

Tup tap..tup tap..keyboard kuat berbunyi. Bila pantas menaip, maka kuatlah lagi deretan bunyi. Aku dulu asalnya sebagai pembaca blog sejati. Setiap hari ada saja blog yang menjadi tatapan. Era bacaan blog menjadi lagi hit bila hampirnya musim Pilihanraya Umum yang lalu. Di situlah, aku jadikan blog akhbar politik utama sebagai rujukan untuk bahan bacaan santai tentang dunia politik. 

Maka bermulalah. Hadirnya ilham dalam diri. Apa pentingnya blog bagi aku. Sepupu aku berulangkali, "kalau hang minat mancing, hang boleh kongsi minat hang dengan orang lain." Hehe.. menarik. Sama juga lah si empunya blog-blog yang lain. Ada yang blognya sebagai penyumbang berita, perkongsian ilmu, perkongsian hobi dan minat, luahan perasaan dan catitan peribadi. Jadi, aku memilih method blog sebagai catitan peribadi. 


Aku terus merangka dari segi layout, top header blog, nama blog dan memilih beberapa kriteria sesuai untuk blog aku. Alhamdulillah. Semuanya berjalan sempurna. Pada mulanya agak rumit. Kerumitan dapat diselesaikan dengan merujuk kepada Encik Google. Aku menambah gadget-gadjet yang perlu. Termasuklah jam, gambar, iklan kecil, ruangan chat dan jumlah pengunjung. Segala-galanya tampak menarik dan bergaya. Bergantung juga pada isi kandungan yang disampaikan. Penulisan dalam blog mulanya, nampak agresif. Semangat baru berblog katakan. Ada saja idea dan posting baru nak dikongsikan.

Namun, akhir-akhir ini, blog wan2day tidak lah lagi berupa catitan peribadi. Semuanya kecenderungan kepada membawa masyarakat kepada kebaikan melalui perkongsian-perkongsian tarbawi. Aku merasakan ianya adalah keperluan. Lihatlah suasana keruntuhan umat Islam yang membimbangkan. Aku lebih minat untuk berkongsi hal seharian kehidupan yang mempunyai hubungan dengan Allah. Kadangkala kita lupa, benda yang kecil dan remeh itulah juga dikira ibadah. Tidak semestinya terletak pada solat, puasa, haji dan sebagainya.


Apa pun yang penting, harus difikirkan apakah matlamat kita yang asal bila menulis dalam medan dakwah. Adakah gelaran ustaz atau orang alim yang diharapkan.? Harapnya tidak. (Mudahan Allah melindungi kita semua.) Semuanya hanya untuk keredhaan Allah. Blog merupakan salah satu platform. Kadang-kadang aku sendiri terganggu dengan blog sendiri. Manakan tidak, gadget kehadiran pengunjung menunjukkan ramai yang berkunjung ke blog kita. Mulalah datang rasa riak, bangga, hebat, blog dah dikenali. Segala rasa perasaan tidak baik, semuanya hadir. Adakah masih tetap niat asal kita..? Tetapkan pendirian, tetapkan matlamat mardhotillah. InsyaAllah. Harap adanya perasaan tadi di sisi Allah.


Ada sahabat berpesan pada diri, "Kita yang menulis blog ni, tiba-tiba Allah ambil nyawa. Tinggallah blog kita ni, blog kita ni lah merupakan amalan yang berjalan selepas mati. Sebab perkongsian kita yang memberi manfaat pada orang lain." Begitulah hendaknya. Kalaupun seseorang itu berubah di sebabkan "jom solat", ianya merupakan manfaat besar pada kita. Kita mengajak orang lain kepada kebaikan, orang lain pula memanfaatkan apa yang kita sampai, Tapi itu semua bergantunglah pada niat dan ikhlas. Ikhlas berdakwah kerana Allah. Ikhlas untuk menyumbang pada masyarakat.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Tidak lain dan tidak bukan, niat sememangnya kerana Allah. Cuma, diri sendiri harapnya benar-benar ikhlas. Sentiasa memperbaharui niat. Biarlah blog tidak sehebat mana. Walaupun hanya seorang untuk sehari sahaja, mungkin seorang itulah yang memberi pengajaran dan kebaikan bermakna untuk dia. Semoga Allah menerima semua amalan-amalan kita.


No comments:

HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010