Tuesday, September 27, 2011

Mesti Tonton - Palestina Again !

Aku bawakkan tentang isu sepanjang zaman. Palestin bukanlah isu bermusim. Terkini, aku baru menonton filem ala dokumentari. Yang mengisarkan suasana sebenar di Gaza khususnya. Kesedihan, kezaliman, kedhaifan dan semua jenis kesengsaraan semuanya ada di Gaza. Filem berdasarkan dari rakaman sebenar, mungkin disunting sedikit dengan babak lakonan. Sedikit ulasan aku selepas menonton filem ini.

  • Memang benar Gaza merupakan penjara terbesar. Bila kita tonton pada babak ketika rakyat Palestin sedang bermandi manda di pesisiran pantai, kelihatan bot perang Zionis melepaskan tembakan untuk menghalau para nelayan agar tidak melepasi had 3km dari pantai. Seolah-olah mereka seperti banduan, yang askar Zionis ini ibarat warden yang mengawal gerak geri 'banduan'.
  • Setiap kali ada serangan, rakyat Palestin berderu ke arah tempat serangan. Merekalah pegawai keselamatan, merekalah bomba, merekalah anggota ambulan. Setiap mangsa yang terkorban dijulang sebagai Syuhada bersama laungan takbir. Kematian mereka adalah kebanggaan bagi rakyat Palestin.
  • Muslimah di sana sentiasa bertudung penuh, berjubah. Kisahkah mereka dengan panas dan ketidakselesaan.? Jauh benar perbandingan mereka di sana dengan di tanah airku.
  • Di manakah tempat yang paling cantik di Gaza.? Semuanya berlatarbelakangkan bangunan runtuh. Kemusnahan dan kebinasaan.
  • Kita dapat saksikan betapa ramainya anak-anak yang merupakan ahli-ahli syurga. Mati tanpa dosa.
  • Anak-anak kesedihan. Mereka hilang ayah, emak, abang, adik bahkan segala-galanya.
Aku syorkan, tontonlah filem tersebut hingga habis. Sedih, geram, marah pasti menyelebungi. Cuba kita letakkan isteri, anak-anak dan ibubapa kita berada dalam situasi dalam filem tersebut. Pemuda-pemuda, kanak-kanak, wanita-wanita bahkan warga emas di sana adalah orang yang hebat. Cukup Hebat.




Read More...

Tuan Haji Tenang


"Pengalaman dan iktibar seseorang itu memberi kesan dan kesedaran pada diri kita."

Aku alami peristiwa ini yang diluahkan dan disampaikan sendiri seorang 'Tuan Haji' yang merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan. Tak sangka, pertemuan singkat dan pertama kalinya aku bertemu TH merupakan pertemuan yang berharga. Aku sendiri tidak mengenali, tapi pertemuan kami ini seolah-olah sudah lama saling kenal mengenali. Mungkin apa yang dihajat tidak tercapai, tetapi aku dapat pula satu input yang berharga dari kisah TH sendiri yang banyak dijadikan pengajaran untuk kita semua. Cerita-cerita TH masih lagi berlegar-legar di telinga aku, hinggakan aku rasa terpanggil untuk dikongsikan dalam blog ini untuk perkongsian bersama.


Pada asalnya tujuan aku bersama seorang sahabat adalah di atas tujuan untuk kepentingan kelab kami KBHI. Kami masing-masing mengharapkan agar pertemuan kami berjalan dengan lancar. Maklumlah, nak berjumpa dengan orang besar kakitangan kerajaan. Aku hanya mengenali TH melalui telefon. Jauh sekali hendak mengagakkan perwatakan TH. Tiba kami di pejabat beliau, aku kehairanan. Kenapa pula buka kasut untuk masuk ke bilik beliau. Jarang sangat pejabat kerajaan begitu. Tidak seperti bilik-bilik pegawai yang lain. Rupa-rupanya bila aku menjejak kaki ke dalam bilik TH, terpampang kopiah dan sejadah di satu sudut. Baru aku faham. Orang yang berpangkat tinggi, tapi masih berasa kerdil di sisi Allah. SubhanALLAH.
Perbincangan kami bermula. Dari raut wajah TH menampakkan, dia seorang yang tenang. Berlemah lembut dalam bicara. Aku suka melihat wajahnya yang tenang juga bersih. Banyak tunjuk ajar TH sampaikan, yang merupakan hari ini aku belajar dari sesuatu yang baru. Input berfaedah yang tidak dicari. Alhamdulillah.




Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Ali-Imraan 3:200

Hampir sejam lebih kami berbual, TH menceritakan kisahnya. Tidak sengaja aku menanyakan hal peribadi dan keluarga TH. Mungkin TH ingin meluahkan apa yang terpendam dihati, yang membuatkan TH berasa puas dan tenang apa yang TH alami. Tapi, siapakah kami yang TH meluahkan isi hatinya. 
Kisahnya lagi. Sebenarnya TH baru kematian isteri tercinta pada 4 hari sebelum menyambut Syawal. TH amat sedih dengan kematian isteri tercinta. Mereka jarang bertemu. TH berada di Perak, dan isteri berada di Pantai Timur. Sebelum pemergian isterinya, sudah 2 minggu mereka tidak berjumpa disebabkan isterinya diberi rawatan di sana. Salah seorang anak TH pula menghadapi penyakit kanser yang tidak dimaklumkan oleh TH pada kami. Semua pembiayaan kimoterapi anaknya, TH yang menanggungnya. Kini bebanan anak-anak TH di bahu TH seorang. Aku nampak wajah TH tika itu sedikit sedih. Namun tidak nampak ia membebankannya. Bayangkan dengan tugasan besar seorang pegawai tinggi kerajaan, bagaimana TH dapat menghadapi ini dengan tabah. Antara bebanan kerja dengan bebanan keluarga. Berulang kali TH menyatakan 'kuat benar ujian Allah bagi.'
Tamparan buat TH, ditawarkan untuk pertukaran tempat bekerja ke Kelantan pula. Anaknya yang bongsu menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Sepatutnya pertukaran TH telah berkuatkuasa 2 hari yang lalu. Namun di atas faktor-faktor keluarga, TH menangguhkan dahulu pertukaran tersebut. TH tidak mahu mengganggu tumpuan anaknya yang bakal menghadapi SPM. Sudahlah tumpuannya banyak terganggu dengan kematian ibunya, ditambah lagi dengan perpindahan tempat dan sekolah. TH mementingkan kebaikan anaknya. Semua makan minum dan pakaian diuruskan semuanya TH seorang. Kalau dulu TH ada pembantu, sekarang tidak. TH berpesan pada kami, "Sementara isteri masih ada, ringan-ringankan tulang membantu isteri memasak dan membasuh baju. Mereka juga penat bekerja.Bila isteri dah tiada nanti, tidaklah rasa berat tanggungjawab menguruskan rumah." Aku betul-betul yakin, yang TH ini banyak bergantung pada Allah. Nampak kesulitan yang TH lalui, seolah-olah semuanya dipermudahkan. Fail-fail bertimbunan di atas meja. Layanan telefon yang tidak putus, semuanya dilayan baik. Kakitangannya sendiri beliau hormati. Aku cukup kagum perwatakan sedemikian rupa. Semuanya berlaku di depan mata. Mungkin itu merupakan sedikit sebanyak luahan dari TH. Bagi kami, ianya satu impak untuk kami bagi rumahtangga masih lagi segar.


Apa yang aku dapat lihat, kesabaran adalah kekuatan dalam menempuh setiap dugaan kehidupan yang mendatang. Hatta kita berjawatan tinggi, kedudukan yang hebat dan disanjung orang ramai, namun di sisi Allah jua kita tunduk. Berserah diri juga bergantung hidup. Kita tidak tahu, apakah situasi yang bakal kita tempuh. Jangan lah bersikap mudah, janganlah bersikap semuanya sempurna. Sentiasalah merasai diri berada dalam kesusahan. Kita akan lebih merasai syukur dan berlapang dada bilamana merasakan sedemikian.


Read More...

Thursday, September 15, 2011

Obat Hati Ada 5 Perkaranya

Obat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Alloh Taala mencukupi
- Opick
Kalau kita demam, demam ada penawarnya. Kalau kita lapar, perut ada habuannya. Kalau kita mati, ada tempatnya. Kalau hati keras, apakah obatnya..? InsyaAllah, sebahagian petikan lirik dari penyanyi Opick yang sedikit sebanyak memberi peringatan untuk sentiasa mengingati Allah. Mudahan lirik ini adalah benar-benar obat yang dapat memperbaiki kecacatan hati dan iman kita.



Yang pertama baca Quran dan maknanya
Sebenarnya ramai dikalangan kita yang mampu mmbaca Al Quran dengan baik. Bahkan lengkap dengan bertajwid di samping alunan-alunan tarannum sebagai perencah bacaan. Namun sejauh mana penghayatan kita dalam setiap baris kata apa yang kita bacakan. Diri sendiri masih kekurangan dalam penghayatan membaca Al Quran, kadang-kadang ada pula gangguan merasakan diri seorang pembaca yang hebat dan alunan lagu yang sedap. Sebab itu Al Quran sendiri akan mencela pada orang yang membacanya disebabkan atas urusan dan niat yang lain. Aku pernah melalui kelas bahasa Arab yang menggunakan tafsir Al Quran sebagai panduan untuk belajar. Apa yang aku dapat rasa, bila kita faham apa yang kita baca, kita dapat rasa yang kita ini adalah benar-benar seorang Muslim yang lengkap. Melengkapi dengan pemahaman kalam Allah melalui Al Quran. Kita rasa faham, kita rasa dilengkapi, kita rasa diri dikawal dengan Al Quran, sebabnya baca Quran dan maknanya. Memang tepat, baca Al Quran bersama tafsirnya betul-betul rasa hati dan iman dipelihara. Kita mampu mengawal diri untuk setiap aspek kehidupan bahkan untuk hati dan jiwa.

Sholat malam dirikanlah
Di sinilah kita melihat potensi diri, adakah kita seorang hamba yang betul-betul tunduk dan mengharapkan sesuatu pada Allah. Satu yang amat berat untuk dilaksanakan. Kadang-kadang bermusim pula solat malam kita. Seorang sahabat berpesan, dia tak rasa hebat kalau solat Subuh berjemaah, tapi dia rasa bangga kalau dapat tunaikan solat sunat 2 rakaat sebelum solat Subuh. Seharian. Kita ini usah katakan Subuh berjemaah, kadang-kadang Subuh pun di hujung waktu. Apakah kelebihan-kelebihan solat malam? 
~ Waktu Mustajabnya Doa
~ Lebih Baik Dari Dunia dan Seisinya
~ Meningkatkan Darjat Di sisi Allah
~ Ibadah Ahli Syurga
~ Keteladanan Salafussoleh    
~ Solat Paling Afdhal Setelah Solat Fardhu. 
Memang betulkan, salah satu obat hati yang mustajab. Disebabkan solat malam ini juga memancarkan wajah seseorang benar-benar beriman dan bertaqwa pada Allah. 

Berkumpullah dengan orang sholeh
Kita boleh lihat rakan-rakan disekeliling kita. Apakah peranan-peranan baik kawan-kawan dalam hidup kita. Ada kawan yang baik. Ada kawan yang mengajak melakukan maksiat. Ada kawan yang mengajak kita ingat Allah. Sebab itu bila ada kawan yang cuba menyampaikan kebenaran, janganlah mencemuh. Mungkin Allah telah menghantar seseorang dalam memperbaiki kelemahan diri. Ye lah, kita ini bila lagi nak cari sendiri  kebaikan dengan usaha dan tenaga yang kedekut ini. Paling kurang pun, berkawanlah dan duduk bersama kawan-kawan yang jaga solat 5 waktu. Baik juga dari segi akhlak. Akhlak seseorang itu pun sudah memberi kebaikan pada diri kita. Hingga boleh menjadikan penawar untuk hati yang sentiasa gundah dan sakit selalu.


Perbanyaklah berpuasa
Selepas berpuasa Ramadhan, Allah tawarkan pula puasa 6 hari di bulan Syawal. Malangnya, sehari kita nak berpuasa pun rasa cukuplah berat. Bukan apa, berpuasa ini lah banyak menghindari dari membuat maksiat. Secara tidak langsung dapat memelihara hati. Bukan lapar dan dahaga sahaja dapat dikawal, bahkan semuanya terkawal. Percayalah, walaupun bukan di bulan Ramadhan, bila kita berpuasa seolah-olah berpuasa dalam bulan Ramadhan. Bila nafsu dapat diikat, iman kita berasa bebas untuk memburu ibadah kepada Allah.

Zikir malam perpanjanglah
Zikir malam dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Banyak manfaat yang di dapat andai kita sering melakukan dzikir di malam hari. Terlebih jika di dalam dzikir kita juga melafalkan ayat kursi. Dzikir malam mampu mengendalikan emosi. Dzikir malam mampu memberi kita kecerdasan spiritual. Dzikir malam yang sungguh-sungguh dengan sepenuh hati mampu mendatangkan ilham untuk menentukan langkah ke mana kita harus melangkah. Dan masih banyak pula keunggulan dan faedah yang di dapat dengan melakukan dzikir malam. Di dalam dzikir malam kita akan mampu meraba setiap masalah yang kita hadapi. Apa yang baik buat kita, belum tentu baik bagi Allah SWT. Dan begitu pula sebaliknya. Serahkan sepenuhnya jiwa dan masalah yang anda hadapi di tangan Allah SWT, dan biarkan Allah SWT dan kekuatannya yang maha dahsyat bekerja untuk memberi keputusan yang akan anda lakukan.  Dzikir malam bak pelita yang akan menerangi jiwa kita di tengah kegelapan. Dzikir malam laksanan air yang mampu memberi kita keteduhan di tengah gurun yang luas. Dzikir malam sanggup menembus hati seseorang yang anda tuju walau di seberang lautan. Dzikir malam akan semakin mendekatkan diri kita dengan Allah SWT. Dzikir malam akan mampu memberikan yang terbaik di dalam hidup. (Petikan asal dari blog INI.)



Read More...

Friday, September 9, 2011

Khutbah Lesu


Sayangnya makanan roh dan jiwa pada tiap-tiap minggu kurang memberi kesan dan impak untuk para jemaah disebabkan khutbah yang angin sepoi-sepoi bahasa. Mana kan tidak, lagi lama khutbah di bacakan, lagi sedap buaian mimpi-mimpi taktkala khubah disampaikan. Memanglah tidur lebih baik daripada berkata-kata. Tapi bukankah dengar khutbah lagi baik dari tidur. Seminggu sekali kan.


Maafkan di atas kata-kata. Bukan apa, inilah realiti yang pasti dapat dilihat di masjid-masjid pada setiap minggu. MELAINKAN, khutbah yang disampaikan betul-betul 'umphh' atau 'mengejutkan'. Maksud aku di sini, khutbah yang disampaikan tak lah terlalu mengikut teks dan skrip yang yang disediakan. Sebabnya satu, kita dapat mengagak bahasa-bahasa dalam teks khutbah yang disampaikan. Jadi kekuatan pengisian khutbah tak rasa hebat. Di kawasan aku, ada seorang khatib yang khutbah disampaikannya berdasarkan kata-kata hati. Khutbahnya ringkas, tapi cukup-cukup rasa padat. Walaupun cara penyampaiannya tidak lah menggunakan suara yang tinggi, sekadar suara yang ringan. Disebabkan pengisian khutbah yang lebih secara 'pandang terus' pada jemaah, dan penghayatan khatib dalam memberi khutbah, itu memberikan khutbahnya betul-betul memberi kesan. Kata-katanya penuh hikmah dan lebih terarah kepada sasaran hati dan jiwa. Kadang-kadang khutbah hari ini, seolah-olah macam karangan Bahasa Melayu yang Islamik. Tersusun bahasa-bahasa baku dan susunan ayat mengikut format. Berbanding pula tersusun kata-kata hikmah yang menyasarkan pada hati.


Hebatnya khutbah itu, bilamana pengisian mengikut akan realiti mengikut isu semasa. Dengan hujah dari penyampai khutbah itu sendiri. Betul-betul rasa hidupnya khutbah Jumaat. Ada pula tajuk khutbah yang bertajuk Menanam Hidroponik dan sebagainya.(rujuk ceramah Ust Shamsuri). Bagi aku hal-hal yang bersifat pada keduniaan dan tidak terarah kepada pembentukan jiwa pada jemaah itu sendiri, rasanya tak perlulah. Tajuk-tajuk sebegini  kita sendiri sedia maklum, dan kita sendiri boleh perolehi. Aku selalu bandingkan khatib yang membaca teks dengan khatib tidak membaca teks memang banyak perbezaan. Memang ada perbezaan dari segi jemaah itu sendiri. Penghayatan, kekusyukan, tumpuan dan jemaah yang tidur.

Inilah peluang yang terbaik dalam memberi peringatan dan pengisian pada setiap Muslim. Hari Jumaatlah yang dapat menghimpunkan ramainya umat Islam. Jadi ambillah peluang seminggu sekali ini sebagai makanan roh kita. Ambillah pendekatan ini untuk memberi sentuhan pada hati jemaah bahkan dalam pembentukan umat Islam yang mantap. Dan khutbah ini jugalah dapat memperbaiki iman dengan hasil pengisian khutbah. Aku sendiri kerinduan dengan khutbah sebegini hebat. Sekurang-kurangnya kita dapat sedikit 'bekalan makanan jiwa' daripada khutbah.

 Khutbah yang hebat, bukanlah kelantangan suaranya. Tapi kata-katanya mampu menjentik hati kita yang keras ini.


Read More...
HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010