Monday, August 29, 2011

Doa Emak Bersamaku

Sila mainkan video di bawah sebelum membaca. Terima kasih.



Ramadhan bakal meninggal pergi. Bulan berharga yang tiada ganti lagi istimewa. Semakin dekat Syawal, semakin dingin cuaca hari-hari. Sambil-sambil memenuhkan ruang masa yang singkat ini, saja-saja perkongsian santai petang hari. Tambahan lagi sambil mendengar irama lagu dari blog ini. Betul-betul menghambat perasaan. Tiba-tiba aku mengimbau kembali detik-detik pada tika dahulu.


Ayah dan Emak

Dua insan yang memainkan peranan penting dalam perjalanan hidup aku. Dari saat diriku dikandungkan. Sampai lah saatnya diriku dibesarkan hingga kan mempunyai keluarga sendiri. Dorongan dan pencetus semangat terus berjalan dan tidak akan putus. Apakah bimbingan dan didikan mereka tidak cukup sempurna.? Perlukah kita salahkan emak dan ayah disebabkan kerosakan anak-anak waktu ini. TIDAK. 100 peratus aku katakan TIDAK. Mereka telah berjaya dan memang berjaya mencorak kehidupan kita. Tapi sayangnya anak-anak sendiri seperti tidak redha pula untuk menjadi seorang anak yang benar-benar soleh seperti yang mereka harapkan. Aku masih ingat, seawal aku berada di alam tadika, didikan agama dan pembentukan jiwa telah berjalan. Bahkan mungkin semasa aku dikandungkan, aku percaya. Doa mereka sentiasa diperkenankan, cuma mungkin mengambil masa atau mungkin 'disana' doa terbalas. Berapakah nilai yang harus dibayar di atas pengorbanan mereka.? Cukup tinggi, jauh dari jangkauan akal..

Doa emak
Emak selalu menangis. Bukan disebabkan kebaikan diriku. Emak sedih dengan perihal anak-anak. Ayah juga begitu, cuma tidak pula menampakkan kesedihan. Mungkin kesakitan yang ayah alami sekarang menunjukkan ayah berasa sedih. Aku sedar, sepanjang waktu emak menangis. Setiap waktu lepas solat, pasti emak menangis. Meratapi, merayukan yang terbaik untuk anak-anak pada Allah. Doa emak selalu memburuku, ke mana saja aku pergi. Di manakah tempat yang terbaik untuk luahkan perasaan emak melainkan mengadu pada Allah. Emak dan ayah mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Tidak sesekali terkeluar dari lidah untuk menghukumi kami. Bahkan untuk mengiktiraf derhaka yang anak lakukan. Emak tak pernah mengherdik aku, apatah lagi memukul. Jauh sekali emak berbuat demikian. Hakikatnya, aku derhaka emak dan ayah. Ampunkanku emak dan ayah..

Mengajar dan mendidik
Rupa-rupanya apa yang ayah tunjukkan adalah mengikut kehendak Allah tetapkan. Pukul kerana sayang. Pukul kerana mendidik. Pukulnya juga kerana Allah. Sebab apa, aku sudah merasainya sekarang. Baru aku faham, kenapa ayah terlalu garang. Aku takutkan ayah disebabkan takutkan Allah. Sebab Allah menyuruh kita mentaati kedua ibubapa. Itulah ayah cuba sampaikan. Mereka takut, di sana nanti disebabkan aku,  adalah punca bebanan untuk mereka diakhirat kelak. Setiap apa yang ayah cuba sampaikan adalah didikan untuk mengajar aku menjadi anak yang benar-benar soleh.

Diriku yang sombong
Kenapa sekarang.? Kenapa baru sekarang aku merasai semua yang baik emak ayah sampaikan? Kebodohan diri aku sendiri. Aku menindakkan semua yang emak dan ayah cakapkan. Kononnya aku sudah besar. Tidak perlu lagi nak dikawal setiap waktu. Aku pandai berdikari. Aku tak rasa takut pada Allah seperti emak dan ayah takutkan pada Allah. Mereka nampak tanggungjawab mereka untuk dibekalkan ke sana. Aku buang pula tanggungjawab sebagai seorang anak yang baik. Bahkan juga sebagai seorang Muslim yang baik. Nasihat-nasihat emak dan ayah tidak pernah tembus ke hati. Hatiku keras. Hati aku gelap lagi kosong. Jiwaku penuh dengan keseronokan yang bersifat sementara. Tiada langsung membawa apa-apa kebaikan. Ya Allah.. aku pernah mencaci emak. Sampai sebegitu rupa. Emak tiada salah. Apakah dosa yang emak telah lakukan.? Ampunkanku emak. Benarlah, hatiku yang kotor lagi keras, tidak nampak akan apa-apa kebaikan. Aku tak nampak yang emak memberi manfaat pada aku waktu itu. Aku jatuh dilandasan doa yang emak harapkan. Benar, aku memang anak derhaka. Rasa tidak layak aku jadi anak emak. Hakikatnya aku lebih bersama kawan-kawan, tapi aku salahkan diri aku sendiri. Pembawakan diri sendiri adalah menentukan jalan yang baik dengan jalan dimurkai. Pergilah ke mana pun, hatta ke hujung dunia. Bahkan sampai di alam kubur. Doa emak pasti bersama dan sentiasa di sisi aku.

Pengajaran
Alhamdulillah. Allah memberi jalan pada aku. Allah memberi peluang kedua untuk memperbaiki kelemahan diri. Doa emak yang tidak putus-putus, mungkin sekarang menampakkan hasilnya. Benih-benih didikan dari ayah, telah pun berputik. Aku bakal nampak hasilnya nanti. Perubahan yang aku harapkan, bukan mengharapkan hidayah semata-mata. Doaku juga dipanjatkan agar Allah dapat membantu aku dalam membuat perubahan hidup. Yang paling penting, bukanlah doa perubahan itu yang utama bagiku tapi adalah doa susulan agar kita terus beristiqamah dengan perubahan diri untuk selamanya. Itu yang penting. Sebab Allah sentiasa menguji hambanya, tak mustahil kalau Allah memberi ujian seperti dahulu. Sekarang aku sudah pun berkeluarga. Aku pula membina dan mencorakkan untuk anak-anak. Adakah aku berjaya seperti emak dan ayah.? Adakah aku cukup tabah dan sabar untuk mendidik mereka.? Emak telah pun mengharungi cabaran dalam membesarkan anak-anak. Berbagai suka dan duka yang emak tempuhi. Hanyalah untuk menjadikan anak-anak yang berjaya, tambahan lagi untuk akhirat. Bagaimana pula dengan aku. Aku juga akan mengirimkan bersama doa dan rayuan dalam membesarkan anak-anak pada Allah. Aku mempelajari dari kesilapan diri sendiri dalam meneruskan hidup. Aku redha dengan setiap ketentuan yang Allah aturkan. Sehebat mana pun ujian dan cabaran yang bakal aku lalui nanti, tidak dapat ditanding dengan ujian yang emak dan ayah lalui. Memang sukar.

Penutup
Selagi kita masih mempunyai ibubapa, berbaktilah pada mereka hingga ke akhir nyawa. Siapakah kita hari ini, kalau disebabkan mereka yang membesarkan kita. Setiap didikan dan tarbiyah untuk diri hendaklah berterusan. Tiada rehat. Tiada relaks. Kita mungkin tak kenal apa itu emak, apa itu ayah.? Merekalah permulaan hidup kita. Aku tenungkan kembali wajah ayah dan emak, berguguran air mata. Aku rasa sedih aku perlakukan mereka sebegitu rupa. Sampaikan lah doa kesejahteraan kedua ibubapa kita setiap kali selepas solat. Itu saja pengorbanan kecil yang aku mampu lakukan. Mudah-mudahan Allah memberkati dan merahmati emak dan ayah.


Read More...

Friday, August 26, 2011

Amalan kita di Hari Raya


Wah... makin semangat lagu-lagu raya berkemundang. Suasana kini tidak lagi berada dalam keadaan kehangatan Ramadhan sepatutnya. Bahkan makin menganggu mental bagi mereka yang sedang berjuang untuk hari-hari terakhir Ramadhan. 

Saja nak kongsikan apa yang berlaku dipersekitaran kita pada Aidilfitri nanti. Tak terlepas juga untuk diri sendiri. Kita renung-renungkan bersama ye.






Amalan Kita di Hari Raya 
  • Bermaaf-maafan serta bersalam salaman. / Tapi.. tak kira mahram atau tidak.
  • Mohon ampun kepada ayah bonda. / Tapi.. salam bermaafan, mohon ampun. Mata dah nampak sampul raya. Kan dah lari niat asal tu. Bagilah peluang kat diri, kitakan selalu buat mak ayah bersedih dan kecil hati.
  • Bergembira di Aidilfitri sebab seronok semata-mata. / Tapi.. gembira yang sepatutnya disebabkan kita meraih ketaqwaan sepanjang bulan Ramadhan. Jadi raikan pada Awal Syawal yang bahgia.
  • Meramaikan Solat Fardhu Subuh berjemaah di pagi Syawal. / Tapi.. Solat Sunat Aidilfitri pula ramainya sampai ke jalan. Silapnya yang mana diutamakan. Ada juga Solat Subuh nya tidak, Solat Aidilfitri buat pula. Aik...
  • Menghidupkan malam Hari Raya. / Tapi.. Masa ni lah tawaran lelong kuih raya dan baju raya yang gila-gila. Last minute punya shopping memang berbaloi.
  • Disunatkan makan sebelum Solat Aidilfitri. / Tapi.. Memang kita makan, tapi melantak bukan main. Biasa lah, 30 hari tak sarapan pagi. Dendam kesumat.
  • Solat Sunat Aidilfitri. / Tapi.. rasa konfius dengan niat. Terawih dengan Aidilfitri. Solat Terawih dah 30 hari, Solat Aidilfitri setahun sekali. Celaru gak. Kadang-kadang ada gak Tok Imam tersilap niat. hehe..
  • Mandi Sunat Aidilfitri.  / Tapi.. entah buat entah tidak. Lupa atau tak tahu. Kira mandi, pakai baju raya dah selesai. Ruginya terlepas pahala pagi-pagi Syawal.
  • Ziarah menziarahi sanak saudara. / Tapi.. kita ni sibuk pula nak ke rumah pakwe makwe. Kawan-kawan pula lebih diutamakan. Dok la dulu rumah saudara mara. Esok-esoklah rumah kawan. ok !!
  • Malas nak keluar rumah. / Tapi.. masa ni lah cerita kat tv cerita best-best. Rugi tak tengok. Cerita wayang baru pulak tu.. hehe.. Hiburan tak sudah..
  • Bertakbir raya. / Tapi.. bukan main mantap alunan lagu mendendangkan takbir raya. Tahukah maksud takbir raya. Sama-samalah kita hayati maksud takbir raya. Baru rasa sebab berhari raya. SINI.
  • Memakai pakaian cantik. / Tapi.. Nabi pakai jubah kesayangan dia. Jubah yang paling cantik antara yang lain. Jubah yang dah terpakai. Kita pula, kalau bukan baju baru namanya bukanlah baju cantik. Betul tak..? hehe.. Tapi ok lah.. Daripada pakai baju mancing..
Setakat ini sahaja termampu yang dapat disenaraikan. Kelemahan-kelemahan ini aku lebih merujuk pada kelemahan diri sendiri. Selagi kita ada masa untuk bertemu Syawal, kita perbaikilah mana yang silap dan kurang. Biarlah apa jua amalan, asalkan kita tidak bercanggah dengan syarak. Apa yang lebih utamakan, kita fikirkan bersama nanti pada pagi Syawal. Setakat mana kesan daripada melalui Madrasah Ramadhan selama sebulan. Adakah sedikit atau banyak perubahan? Adakah masih sama pada sebelumnya Ramadhan.? Atau adakah lagi teruk pula dari hasil Madrasah Ramadhan.? Sama-samalah kita muhasabah diri. 

Yang lemah lagi banyaknya silap, adalah datangnya dari diriku yang dhaif ini. Yang baik lagi Teragung datangnya dari Illahku Yang Satu, Allah SWT. Semoga Engkau terimalah amalan-amalan, ibadah-ibadahku dan doa-doaku sepanjang bulan Ramadhan ini. Agar Engakau pilihlah aku untuk berada pada Ramadhan tahun hadapan. Insya Allah.

Dariku, Ampun Maaf di atas salah dan silap. Di atas ketelanjuran kata dan perkataan yang kurang menyenangkan.

Salam Aidilfitri



Read More...

Tuesday, August 23, 2011

SOMALIA - Mereka di sana, kita di sini ?

Aku nak kongsikan posting ini untuk semua. Semenjak akhir-akhir ini, kerap berita-berita mengenai kedaifan di Somalia baik di akhbar mahupun di facebook. Ada pula yang memaparkan video tentang kesengsaraan mereka berjuang untuk terus hidup. Jauhnya lebih selesa berbanding kita di Malaysia. Aku mengajak merasai sedikit sahaja kesusahan mereka untuk kita di sini. Oleh itu kita fikirkan sejenak dengan gambar yang cuba paparkan ini.


Apakah maksud disebalik gambar ini?
Perhatikan, mereka ini tiada keselesaan. Apatah lagi untuk berehat sambil bersantai-santai sambil membaca akhbar ataupun bermain sms. Boleh dikatakan mereka ini tiada mempunyai apa-apa. Tiada apa yang penting bagi mereka melainkan makan dan minum. Itu sahaja. Tapi, kesusahan, ketidakselesaan mereka ini dizahirkan dengan mengadu pada Allah tidak kiralah di mana. Semoga Allah membayar harga yang amat tinggi untuk mereka.
 
Apa yang menyedihkan kita lihatkan balik kegunaan institusi-intitusi masjid di Malaysia. Dibina cukup indah. Senibinanya memukau para jemaah bahkan para pelancong asing. Daya tarikannya sahaja pasti menggamit umat Islam untuk memenuhi masjid. Kebanyakannya pula sudah dipasang dengan penghawa dingin. Cukup selesa. Kita lebih berbangga dengan pembinaan masjid-masjid yang cantik dan indah. Tapi, kenapa dengan tarikan-tarikan ini jemaah masjid masih lagi tidak mencapai memuaskan. Bahkan statistik di Malaysia yang dikeluarkan oleh pihak Jakim, jumlah orang Islam yang menunaikan solat tidak sampai 20%. Cukup menyedihkan. Cuba lihat balik pada gambar tadi, adakah sekiranya Allah turunkan ujian ke atas negara kita seperti Somalia, mungkinkah ketika itu kita berlumba-lumba mencari Allah. Kita terlalu berada dalam 'comfort zone'. Semoga kita dilindungi Allah dan dalam peliharaNya.

Aku sertakan bersama poster bantuan rakyat Somalia.

"Kita mati sebabkan makanan, tapi mereka mati sebab kekurangan makanan."

Read More...

Saturday, August 20, 2011

Pemburuan Bermula.. 10 Ramadhan terakhir.

Yeah.. memang bermula dan sedang dimulakan. Apa dia..? InsyaAllah, pemburuan dalam mencari Lailatul Qadr untuk sisa-sisa hari terakhir Ramadhan tahun ini. Tibalah kemuncak dan penantian yang sebenar dalam amalan-amalan ibadah dalam Ramadhan. Boleh kita gambarkan ibarat raptai Hari Penganugerahan untuk Institusi @ Madrasah Ramadhan, yang masih menjadi rahsia bilakah hari sebenar tersebut.





Bersandarkan Ayat Allah : Al-Qadr 1-5.







Tapi sayang..
Antara ganjaran akhirat yang Allah janjikan, dengan ganjaran Sales 80%, yang manakah jadi buruan..? Aku sendiri tewas.. Kecenderungan kita pada khazanah dunia, amat mudah merasai nikmat dan indah. Kita seolah2 tak nampak apa yang Allah janjikan. Di mana-mana suasana pasaraya, bagaikan menanti roboh pada bila-bila masa.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah R.A:

"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Tak rasa rugikah kita? Allah ampunkan dosa-dosa yang lalu. Berapa banyak dosa kecil dan dosa besar yang telah menjadi koleksi terhebat kita? Sedangkan kita ini hamba yang tak putus dengan dosa. Rasulullah SAW yang maksum, suci dari dosa bahkan dijanjikan syurga pun tak lepas peluang menggandakan ibadah berbanding pada malam bulan yang lain.

InsyaAllah. Hasil sepanjang berada Madrasah Ramadhan, sekurang-kurangnya ada perubahan untuk bulan-bulan yang berikutnya.

Dari solat sendirian kepada solat berjemaah.
Dari bercakap tak elok kepada bercakap baik.
Dari melihat benda tak elok kepada melihat benda yang bermanfaat.
Dari jarang baca Al Quran kepada kerap baca baca Al Quran.
Dari solat sunat Terawih kepada solat sunat yang lain.
Dari berpuasa Ramadhan kepada puasa-puasa sunat.


Tahniah, Selamat Berjaya dan Beruntung Serta Berbanggalah pada kalian yang dapat bertemu dengan Malam Seribu Bulan.

Semoga Allah panjangkan umur kita untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Read More...
HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010