Monday, August 29, 2011

Doa Emak Bersamaku

Sila mainkan video di bawah sebelum membaca. Terima kasih.



Ramadhan bakal meninggal pergi. Bulan berharga yang tiada ganti lagi istimewa. Semakin dekat Syawal, semakin dingin cuaca hari-hari. Sambil-sambil memenuhkan ruang masa yang singkat ini, saja-saja perkongsian santai petang hari. Tambahan lagi sambil mendengar irama lagu dari blog ini. Betul-betul menghambat perasaan. Tiba-tiba aku mengimbau kembali detik-detik pada tika dahulu.


Ayah dan Emak

Dua insan yang memainkan peranan penting dalam perjalanan hidup aku. Dari saat diriku dikandungkan. Sampai lah saatnya diriku dibesarkan hingga kan mempunyai keluarga sendiri. Dorongan dan pencetus semangat terus berjalan dan tidak akan putus. Apakah bimbingan dan didikan mereka tidak cukup sempurna.? Perlukah kita salahkan emak dan ayah disebabkan kerosakan anak-anak waktu ini. TIDAK. 100 peratus aku katakan TIDAK. Mereka telah berjaya dan memang berjaya mencorak kehidupan kita. Tapi sayangnya anak-anak sendiri seperti tidak redha pula untuk menjadi seorang anak yang benar-benar soleh seperti yang mereka harapkan. Aku masih ingat, seawal aku berada di alam tadika, didikan agama dan pembentukan jiwa telah berjalan. Bahkan mungkin semasa aku dikandungkan, aku percaya. Doa mereka sentiasa diperkenankan, cuma mungkin mengambil masa atau mungkin 'disana' doa terbalas. Berapakah nilai yang harus dibayar di atas pengorbanan mereka.? Cukup tinggi, jauh dari jangkauan akal..

Doa emak
Emak selalu menangis. Bukan disebabkan kebaikan diriku. Emak sedih dengan perihal anak-anak. Ayah juga begitu, cuma tidak pula menampakkan kesedihan. Mungkin kesakitan yang ayah alami sekarang menunjukkan ayah berasa sedih. Aku sedar, sepanjang waktu emak menangis. Setiap waktu lepas solat, pasti emak menangis. Meratapi, merayukan yang terbaik untuk anak-anak pada Allah. Doa emak selalu memburuku, ke mana saja aku pergi. Di manakah tempat yang terbaik untuk luahkan perasaan emak melainkan mengadu pada Allah. Emak dan ayah mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Tidak sesekali terkeluar dari lidah untuk menghukumi kami. Bahkan untuk mengiktiraf derhaka yang anak lakukan. Emak tak pernah mengherdik aku, apatah lagi memukul. Jauh sekali emak berbuat demikian. Hakikatnya, aku derhaka emak dan ayah. Ampunkanku emak dan ayah..

Mengajar dan mendidik
Rupa-rupanya apa yang ayah tunjukkan adalah mengikut kehendak Allah tetapkan. Pukul kerana sayang. Pukul kerana mendidik. Pukulnya juga kerana Allah. Sebab apa, aku sudah merasainya sekarang. Baru aku faham, kenapa ayah terlalu garang. Aku takutkan ayah disebabkan takutkan Allah. Sebab Allah menyuruh kita mentaati kedua ibubapa. Itulah ayah cuba sampaikan. Mereka takut, di sana nanti disebabkan aku,  adalah punca bebanan untuk mereka diakhirat kelak. Setiap apa yang ayah cuba sampaikan adalah didikan untuk mengajar aku menjadi anak yang benar-benar soleh.

Diriku yang sombong
Kenapa sekarang.? Kenapa baru sekarang aku merasai semua yang baik emak ayah sampaikan? Kebodohan diri aku sendiri. Aku menindakkan semua yang emak dan ayah cakapkan. Kononnya aku sudah besar. Tidak perlu lagi nak dikawal setiap waktu. Aku pandai berdikari. Aku tak rasa takut pada Allah seperti emak dan ayah takutkan pada Allah. Mereka nampak tanggungjawab mereka untuk dibekalkan ke sana. Aku buang pula tanggungjawab sebagai seorang anak yang baik. Bahkan juga sebagai seorang Muslim yang baik. Nasihat-nasihat emak dan ayah tidak pernah tembus ke hati. Hatiku keras. Hati aku gelap lagi kosong. Jiwaku penuh dengan keseronokan yang bersifat sementara. Tiada langsung membawa apa-apa kebaikan. Ya Allah.. aku pernah mencaci emak. Sampai sebegitu rupa. Emak tiada salah. Apakah dosa yang emak telah lakukan.? Ampunkanku emak. Benarlah, hatiku yang kotor lagi keras, tidak nampak akan apa-apa kebaikan. Aku tak nampak yang emak memberi manfaat pada aku waktu itu. Aku jatuh dilandasan doa yang emak harapkan. Benar, aku memang anak derhaka. Rasa tidak layak aku jadi anak emak. Hakikatnya aku lebih bersama kawan-kawan, tapi aku salahkan diri aku sendiri. Pembawakan diri sendiri adalah menentukan jalan yang baik dengan jalan dimurkai. Pergilah ke mana pun, hatta ke hujung dunia. Bahkan sampai di alam kubur. Doa emak pasti bersama dan sentiasa di sisi aku.

Pengajaran
Alhamdulillah. Allah memberi jalan pada aku. Allah memberi peluang kedua untuk memperbaiki kelemahan diri. Doa emak yang tidak putus-putus, mungkin sekarang menampakkan hasilnya. Benih-benih didikan dari ayah, telah pun berputik. Aku bakal nampak hasilnya nanti. Perubahan yang aku harapkan, bukan mengharapkan hidayah semata-mata. Doaku juga dipanjatkan agar Allah dapat membantu aku dalam membuat perubahan hidup. Yang paling penting, bukanlah doa perubahan itu yang utama bagiku tapi adalah doa susulan agar kita terus beristiqamah dengan perubahan diri untuk selamanya. Itu yang penting. Sebab Allah sentiasa menguji hambanya, tak mustahil kalau Allah memberi ujian seperti dahulu. Sekarang aku sudah pun berkeluarga. Aku pula membina dan mencorakkan untuk anak-anak. Adakah aku berjaya seperti emak dan ayah.? Adakah aku cukup tabah dan sabar untuk mendidik mereka.? Emak telah pun mengharungi cabaran dalam membesarkan anak-anak. Berbagai suka dan duka yang emak tempuhi. Hanyalah untuk menjadikan anak-anak yang berjaya, tambahan lagi untuk akhirat. Bagaimana pula dengan aku. Aku juga akan mengirimkan bersama doa dan rayuan dalam membesarkan anak-anak pada Allah. Aku mempelajari dari kesilapan diri sendiri dalam meneruskan hidup. Aku redha dengan setiap ketentuan yang Allah aturkan. Sehebat mana pun ujian dan cabaran yang bakal aku lalui nanti, tidak dapat ditanding dengan ujian yang emak dan ayah lalui. Memang sukar.

Penutup
Selagi kita masih mempunyai ibubapa, berbaktilah pada mereka hingga ke akhir nyawa. Siapakah kita hari ini, kalau disebabkan mereka yang membesarkan kita. Setiap didikan dan tarbiyah untuk diri hendaklah berterusan. Tiada rehat. Tiada relaks. Kita mungkin tak kenal apa itu emak, apa itu ayah.? Merekalah permulaan hidup kita. Aku tenungkan kembali wajah ayah dan emak, berguguran air mata. Aku rasa sedih aku perlakukan mereka sebegitu rupa. Sampaikan lah doa kesejahteraan kedua ibubapa kita setiap kali selepas solat. Itu saja pengorbanan kecil yang aku mampu lakukan. Mudah-mudahan Allah memberkati dan merahmati emak dan ayah.


5 comments:

Muhammad Radhi said...

mashaALLAH!!!inshALLAH..

usop_zali said...

fuh...cukup touching wan baca post ni...x tahan yob..

wan2day said...

tulisan dgn air mata..hehe

Anonymous said...

Alhamdulillah... jika begilah semua anak-anak dapat memandang yang tersirat bukan yang tersurat.. Tapi sedikit sayang ye Wan apa yang kita rasa ini setelah kita berkeluarga, itu pun kira hebat dah sebalaiknya ada yang sudah berkeluarga pun masih membebankan ibu bapa.
Sudah pastinya tepat apa lagi yang ada pada manusia apatah lagi Ibu Bapa melainkan merayu, bermunajat dan memanjat harap hanya saNYA pada Yang ESA. Tahniah Wan perkongsian dan bekal yang amat berharga..

wan2day said...

Anonymous ~ kita benar2 kena menghargai hidayah Allah. Tp betul, selalunya bila dah matang dan berkeluarga baru nampak kelemahan dan keburukan diri. Kira bersyukurlah Allah masih pelihara kita. Tq menziarah wan2day.

HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010