Aku alami peristiwa ini yang diluahkan dan disampaikan sendiri seorang 'Tuan Haji' yang merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan. Tak sangka, pertemuan singkat dan pertama kalinya aku bertemu TH merupakan pertemuan yang berharga. Aku sendiri tidak mengenali, tapi pertemuan kami ini seolah-olah sudah lama saling kenal mengenali. Mungkin apa yang dihajat tidak tercapai, tetapi aku dapat pula satu input yang berharga dari kisah TH sendiri yang banyak dijadikan pengajaran untuk kita semua. Cerita-cerita TH masih lagi berlegar-legar di telinga aku, hinggakan aku rasa terpanggil untuk dikongsikan dalam blog ini untuk perkongsian bersama.
Pada asalnya tujuan aku bersama seorang sahabat adalah di atas tujuan untuk kepentingan kelab kami KBHI. Kami masing-masing mengharapkan agar pertemuan kami berjalan dengan lancar. Maklumlah, nak berjumpa dengan orang besar kakitangan kerajaan. Aku hanya mengenali TH melalui telefon. Jauh sekali hendak mengagakkan perwatakan TH. Tiba kami di pejabat beliau, aku kehairanan. Kenapa pula buka kasut untuk masuk ke bilik beliau. Jarang sangat pejabat kerajaan begitu. Tidak seperti bilik-bilik pegawai yang lain. Rupa-rupanya bila aku menjejak kaki ke dalam bilik TH, terpampang kopiah dan sejadah di satu sudut. Baru aku faham. Orang yang berpangkat tinggi, tapi masih berasa kerdil di sisi Allah. SubhanALLAH.
Perbincangan kami bermula. Dari raut wajah TH menampakkan, dia seorang yang tenang. Berlemah lembut dalam bicara. Aku suka melihat wajahnya yang tenang juga bersih. Banyak tunjuk ajar TH sampaikan, yang merupakan hari ini aku belajar dari sesuatu yang baru. Input berfaedah yang tidak dicari. Alhamdulillah.
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Ali-Imraan 3:200
Hampir sejam lebih kami berbual, TH menceritakan kisahnya. Tidak sengaja aku menanyakan hal peribadi dan keluarga TH. Mungkin TH ingin meluahkan apa yang terpendam dihati, yang membuatkan TH berasa puas dan tenang apa yang TH alami. Tapi, siapakah kami yang TH meluahkan isi hatinya.
Kisahnya lagi. Sebenarnya TH baru kematian isteri tercinta pada 4 hari sebelum menyambut Syawal. TH amat sedih dengan kematian isteri tercinta. Mereka jarang bertemu. TH berada di Perak, dan isteri berada di Pantai Timur. Sebelum pemergian isterinya, sudah 2 minggu mereka tidak berjumpa disebabkan isterinya diberi rawatan di sana. Salah seorang anak TH pula menghadapi penyakit kanser yang tidak dimaklumkan oleh TH pada kami. Semua pembiayaan kimoterapi anaknya, TH yang menanggungnya. Kini bebanan anak-anak TH di bahu TH seorang. Aku nampak wajah TH tika itu sedikit sedih. Namun tidak nampak ia membebankannya. Bayangkan dengan tugasan besar seorang pegawai tinggi kerajaan, bagaimana TH dapat menghadapi ini dengan tabah. Antara bebanan kerja dengan bebanan keluarga. Berulang kali TH menyatakan 'kuat benar ujian Allah bagi.'
Tamparan buat TH, ditawarkan untuk pertukaran tempat bekerja ke Kelantan pula. Anaknya yang bongsu menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Sepatutnya pertukaran TH telah berkuatkuasa 2 hari yang lalu. Namun di atas faktor-faktor keluarga, TH menangguhkan dahulu pertukaran tersebut. TH tidak mahu mengganggu tumpuan anaknya yang bakal menghadapi SPM. Sudahlah tumpuannya banyak terganggu dengan kematian ibunya, ditambah lagi dengan perpindahan tempat dan sekolah. TH mementingkan kebaikan anaknya. Semua makan minum dan pakaian diuruskan semuanya TH seorang. Kalau dulu TH ada pembantu, sekarang tidak. TH berpesan pada kami, "Sementara isteri masih ada, ringan-ringankan tulang membantu isteri memasak dan membasuh baju. Mereka juga penat bekerja.Bila isteri dah tiada nanti, tidaklah rasa berat tanggungjawab menguruskan rumah." Aku betul-betul yakin, yang TH ini banyak bergantung pada Allah. Nampak kesulitan yang TH lalui, seolah-olah semuanya dipermudahkan. Fail-fail bertimbunan di atas meja. Layanan telefon yang tidak putus, semuanya dilayan baik. Kakitangannya sendiri beliau hormati. Aku cukup kagum perwatakan sedemikian rupa. Semuanya berlaku di depan mata. Mungkin itu merupakan sedikit sebanyak luahan dari TH. Bagi kami, ianya satu impak untuk kami bagi rumahtangga masih lagi segar.
Apa yang aku dapat lihat, kesabaran adalah kekuatan dalam menempuh setiap dugaan kehidupan yang mendatang. Hatta kita berjawatan tinggi, kedudukan yang hebat dan disanjung orang ramai, namun di sisi Allah jua kita tunduk. Berserah diri juga bergantung hidup. Kita tidak tahu, apakah situasi yang bakal kita tempuh. Jangan lah bersikap mudah, janganlah bersikap semuanya sempurna. Sentiasalah merasai diri berada dalam kesusahan. Kita akan lebih merasai syukur dan berlapang dada bilamana merasakan sedemikian.
Apa yang aku dapat lihat, kesabaran adalah kekuatan dalam menempuh setiap dugaan kehidupan yang mendatang. Hatta kita berjawatan tinggi, kedudukan yang hebat dan disanjung orang ramai, namun di sisi Allah jua kita tunduk. Berserah diri juga bergantung hidup. Kita tidak tahu, apakah situasi yang bakal kita tempuh. Jangan lah bersikap mudah, janganlah bersikap semuanya sempurna. Sentiasalah merasai diri berada dalam kesusahan. Kita akan lebih merasai syukur dan berlapang dada bilamana merasakan sedemikian.
No comments:
Post a Comment