Thursday, February 11, 2010

BOLASEPAK : Gunting siapa dalam lipatan ? PAFA.


Dari Seladang.net

Pengirim: Ahmad Bistaman via Email
Tarikh Email: 11 Februari 2010 12:42 AM

Beberapa perlawanan pasukan Perak telah pun berlangsung di Stadium Perak di mana keputusan perlawanan telah pun diketahui. Sebagai peminat dan penyokong bolasepak Perak, menonton sesuatu perlawanan di kedudukan ‘bertentangan’ dengan grandstand bersama-sama dengan penyokong fanatik Perak adalah sesuatu yang menyeronokkan.

Bukan sahaja kita dapat mendengar jeritan, cemuhan, sorakan, tepukan, rintihan dari peminat semua tetapi ada perkara-perkara lain yang boleh diperolehi kalau kita rajin memasang telinga. Mungkin ramai yang tidak akan mempercayainya, tetapi marilah kita kongsi bersama ‘perkara-perkara’ yang telah menjadi topik perbualan ini.

Pertama sekali, tentulah tentang kemelut politik di negeri Perak di mana sedikit sebanyak ada kaitannya dengan pengurusan PAFA. Ada yang mengandaikan sekiranya Datuk Seri Nizar menang, begini akan jadinya kepada pasukan Perak dan PAFA, manakala sekiranya beliau kalah, begitulah pula nasib yang akan menimpa pasukan Perak dan PAFA.



Yang menarik setelah didengar dan untuk difikirkan bersama di sini ialah, belum pun keputusan mahkamah diumumkan tempohari sudah terdapat tiga kumpulan yang menaruh impian untuk menerajui kepimpinan PAFA. Mereka terdiri dari kumpulan bekas Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden, dan kumpulan Pegawai Sukan Nombor 1 di Perak.

Ketiga-tiga mereka ini mempunyai ‘orang-orang’ mereka di dalam Ahli Majlis PAFA dan secara senyap-senyap telah pun mula memainkan peranan masing-masing dengan penuh keyakinan bahawa Datuk Seri Nizar akan kalah. Seandainya keputusan mahkamah menyebelahi Datuk Seri Nizar, ketiga-tiga ini dikatakan akan berkompromi dan bergabung untuk menjatuhkan Datuk Seri Nizar selaku Presiden PAFA dengan apa jua cara sekalipun.

Apapun, dalam perbualan tiga sahabat tadi, salah seorang daripadanya ada mengatakan bahawa mana-mana pihak yang mengambil alih kepimpinan PAFA dari Datuk Seri Nizar, sudah pasti ianya akan ‘hancur’ seperti mana di era sebelum ini kerana ketiga-tiga tokoh tadi adalah pemimpin politik yang mempunyai tujuan dan agenda yang tersembunyi serta tidak ikhlas untuk memertabatkan sukan bolasepak di negeri Perak.

Apa tidaknya, sudah tentu dana akan dicari untuk mengisi tabung kewangan PAFA yang kononnya ‘kosong’ di bawah kepimpinan Datuk Seri Nizar ketika ini. Mereka sebenarnya hanya mahu mengisi ‘kantung’ masing-masing dengan menggunakan PAFA sebagai ‘platform kewangan’ dan mengukuhkan kedudukan politik masing-masing.

Menurut cerita si ‘B’ pula, satu Malaysia sudah pun mengetahui bahawa dalam PAFA, terdapat dua ‘kem’ iaitu satu menyokong dan satu lagi menentang Datuk Seri Nizar. Puak yang menentang telah cuba untuk menjatuhkan beliau dengan usul untuk diadakan EGM, seperti mana yang tersiar di akhbar beberapa bulan yang lalu. Tetapi usaha mereka itu gagal kerana tidak mendapat sokongan dari semua Ahli Majlis dan Ahli Gabungan PAFA.

Justeru itu, sekira nya Datuk Seri Nizar kalah, sudah pasti puak-puak ini tidak akan berdiam diri selagi hajat mereka tidak kesampaian. Mereka akan melancarkan ‘perang saraf’ yang kedua dan ‘dalang’ di sebalik kuncu-kuncu ini ialah seorang ‘ahli korporat’ yang dijadikan kambing hitam oleh seseorang yang bercita-cita menjadi Presiden PAFA.

Ahli korporat ini pula mempunyai kepentingan secara tidak langsung dalam perniagaan yang beliau usahakan dengan pertolongan pihak tersebut. Cerita mengenainya telah pun kedengaran di Ipoh, dan kata ‘B’ lagi keadaan akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya kepada beliau dan pasti ianya menjadi ‘tajuk panas’ dalam masa yang terdekat.

Apapun, mari kita tumpukan kepada isu ‘UTAMA’ yang akan mengejutkan semua peminat bolasepak Perak ketika ini. Berdasarkan maklumat dari ‘pengadil’ yang pernah bertugas tempohari, terdapat ‘arahan tidak rasmi’ dari segelintir ‘Orang Dalam PAFA’ yang terlibat dengan perlawanan di tempat sendiri untuk ‘mengarahkan’ pengadil yang bertugas supaya memberikan ‘tekanan mental’ kepada pemain-pemain Perak yang beraksi.

Semua ini dilakukan supaya pemain-pemain terbabit hilang fokus dalam perlawanan yang dihadapi. Apabila pemain tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap permainan kerana ‘gangguan’ ini, sudah pasti Perak akan tewas dan inilah yang diidamkan oleh puak-puak ‘mereka’ untuk mencantikkan lagi jalan cerita penuh sandiwara ini.

Sejauh mana kebenaran perkara ini, sama-samalah kita semua nilaikan mutu pengadilan di setiap perlawanan yang membabitkan pasukan Perak terutamanya di gelanggang sendiri. Apakah ini ada kaitan dengan ‘konspirasi’ untuk menjatuhkan Datuk Seri Nizar atau ianya ‘arahan’ dari mana-mana pihak yang terlibat untuk mengejar jawatan?.

Kita cuma mengharapkan bahawa ini hanyalah cakap-cakap kosong, tetapi sekiranya ianya adalah benar maka pihak yang terlibat adalah ‘petualang dan pengkhianat’ yang sebenar kepada negeri Perak. Peminat yang datang dari dekat dan jauh ingin memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka, dan mengharapkan kemenangan tetapi dengan mainan ‘jijik’ dari pegawai yang terlibat ianya akan menghampakan peminat dan sudah pasti mereka akan menyalahkan pemain-pemain dan pegawai pasukan yang terlibat.

Secara tidak langsung tujuannya adalah untuk menyingkirkan jurulatih dan pengurusan pasukan serta menjejaskan reputasi Datuk Seri Nizar sebagai Presiden PAFA. Mungkin ini juga adalah salah satu cara yang dijalankan oleh ‘pihak-pihak tertentu’ supaya dapat dijadikan ‘modal berkempen’ untuk bertanding pada pemilihan PAFA akan datang.

Kalau tidak, masakan pada musim 2009 yang lalu terdapatnya pemain yang telah dibayar dan diarahkan supaya jangan bermain pada tahap kemampuan sebenar mereka oleh ‘pengkhianat-pengkhianat’ di dalam PAFA sendiri. Rumusannya tanpa menggunakan ‘modal’ perkara seperti di atas tidak akan berlaku dengan sewenang-wenangnya.

Inilah risiko yang harus ditanggung oleh kita semua apabila tokoh korporat yang tidak ‘bermoral’ diberi ruang untuk berada di dalam Persatuan Sukan seperti PAFA kerana pada mereka segalanya boleh dibeli dengan wang ringgit tanpa mengambil kira pengorbanan dari peminat-peminat bolasepak yang datang memberikan sokongan ikhlas kepada pasukan.

1 comment:

sapol said...

skor yob skor

HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010