"KAMI tidak makan sejak tiga hari lalu." Kata-kata seorang penghuni  Rumah Anak-Anak Yatim Tal Al Sultan di Rafah masih terngiang-ngiang di  telinga Dr. Jamnul Azhar Mulkan.
 Biarpun kejadian itu berlaku lebih setahun yang lalu, namun jawapan  kanak-kanak itu membuka matanya terhadap kekejaman rejim Zionis Israel  terhadap rakyat Palestin.
 Pada masa itu, beliau dan para sukarelawan Misi Keamanan Palestin  2009 sedang melakukan lawatan ke rumah kebajikan yang menempatkan  kira-kira 200 orang penghuni.
 Jamnul tidak dapat melupakan bagaimana kanak-kanak itu sanggup  berbohong di hadapan sukarelawan bagi menyembunyikan kesengsaraannya.
 "Saya bertanya sama ada mereka sudah makan? Rata-rata menjawab sudah,  tiba-tiba seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan lima tahun  menghampiri saya lalu berbisik mereka tidak makan sejak tiga hari lalu,"  katanya.
 Mendengar jawapan itu, beliau berlari ke kenderaan dan mengambil  gula-gula yang sempat dibeli ketika tiba di Mesir.
 "Kami hanya mampu memberi mereka gula-gula kerana konvoi makanan  telah dihalang memasuki Gaza oleh kerajaan Mesir. Walaupun tidak  mengenyangkan namun ia sudah cukup menceriakan mereka," katanya yang  terharu mengenangkan peristiwa itu.
 Malah Jamnul juga tidak dapat melupakan kata-kata seorang remaja  Palestin yang beliau temui ketika cuba menghulurkan sedikit wang  kepadanya.
 "Kami tidak mahukan wang anda. Apa yang kami mahu ialah sokongan dan  bantuan daripada negara-negara Islam untuk membantu perjuangan dan  membangunkan semula negara kami," kata seorang remaja yang kecewa dengan  nasib mereka yang diperkotak-katikkan oleh rejim Zionis Israel.
 Serangan besar-besaran
 
SELAIN terpaksa tinggal di dalam  khemah kerana rumah mereka dimusnahkan oleh tentera Israel, wanita ini  menunjukkan peti sejuknya yang kosong tanpa makanan.  
  Perbualan singkat dengan remaja itu membuka matanya terhadap realiti  kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Palestin lebih-lebih lagi  memikirkan masa depan anak-anak yatim di rumah itu yang hidup dalam  kedaifan dan serba kekurangan.
 Bercerita mengenai misi yang dijalankan oleh Dewan Pemuda Masjid  Malaysia (Pemuda Masjid) pada 21 Januari 2009 itu membawa pelbagai  barangan asas seperti makanan dan perubatan untuk rakyat di wilayah yang  mengalami krisis kemanusiaan selepas dikenakan sekatan oleh rejim  Zionis sejak Hamas memenangi pilihan raya pada tahun 2006.
 Ia disertai kira-kira 13 sukarelawan, petugas media termasuk  Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.  Rombongan tersebut tiba selepas serangan besar-besaran rejim itu yang  mengorbankan kira-kira 1,400 orang rakyat Palestin dan 13 warga Israel.
 Biarpun berdepan dengan kerenah birokrasi yang ketat ketika tiba di  pintu masuk sempadan termasuk terpaksa menunggu hampir lapan jam, para  sukarelawan akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Gaza.
   
  | 
|   RAKYAT Palestin mendapat  bantuan bekalan makanan daripada Agensi Kerja dan Bantuan  Bantuan  Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Bandar Gaza.     | 
 Menceritakan saat sukar di sana, beliau bersama sukarelawan lain  terlibat dalam pembedahan bagi menyelamatkan mangsa perang di Hospital  Darul Syifa di Gaza.
 "Semua wad penuh dengan mangsa pengeboman tapi kepakaran doktor dan  peralatan tak cukup, banyak pesakit tak dapat melepasi sempadan kerana  ditahan dan terpaksa duduk dalam ambulans selama dua hari sebelum  dihantar ke hospital," katanya.
 Kekejaman rejim Zionis jelas terserlah apabila menjadikan orang awam  sebagai mangsa malah mereka juga menggunakan peluru fosforus putih bagi  menghancurkan pejuang Hamas.
 Apabila kelongsong peluru dikeluarkan fosforus putih yang terdedah  kepada oksigen akan terbakar sehingga mengakibatkan daging dan kulit  pesakit luruh dengan sendirinya.
   
  | 
|   BANGUNAN Kementerian  Pendidikan Palestin di Gaza terbakar akibat serangan bom.     | 
 Mengakui pertama kali berhadapan situasi itu, pakar perubatan  terpaksa menggunakan air zam zam untuk memadamkan api pada luka  berkenaan dan mengurangkan penderitaan pesakit.
 "Kesudahannya ialah kaki atau tangan pesakit terpaksa dipotong,  mereka yang cedera parah pula rata-ratanya mempunyai peluang tipis untuk  hidup," ujarnya.
 Bom hospital
 Sepanjang berada di hospital itu, para sukarelawan juga berdepan  dengan situasi mencemaskan apabila hospital itu dibom oleh pihak rejim  yang mengakibatkan 12 kematian orang awam.
 Bagaimanapun kesemua mereka terselamat dan sempat keluar dari  bangunan itu yang menyasarkan sebuah makmal perubatan.
 
JAMNUL (kanan) melihat keadaan salah  seorang mangsa yang  terkena serpihan bom. 
  Beliau menambah, tentera Zionis turut bertindak kejam apabila  memusnahkan stor makanan milik Persatuan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  ladang ternakan dan tanaman yang diusahakan oleh rakyat Palestin dengan  kereta kebal.
 "Ini merupakan taktik halus mereka bagi memastikan rakyat Palestin  yang dikenakan sekatan sebelum ini terputus bekalan makanan. 
 "Pada masa yang sama, bekalan air bersih juga sering terputus  menyebabkan mereka terpaksa menggali air bawah tanah bagi mendapatkan  sumber berkenaan," ujarnya yang kagum dengan perjuangan rakyat Palestin  yang tidak pernah luntur.
 Perbualan beliau dengan Pengarah Hospital Darul Syifa, Dr. Jaafar  Abd. Tayib ketika itu menemukannya dengan satu fenomena luar biasa  sebagai bukti kekuasaan Allah.
 Beliau diberitahu sebelum serangan besar-besaran pada Disember 2008,  kadar kelahiran di Gaza mencatatkan pe ningkatan iaitu sekitar 3,000  hingga 4,000 orang setahun.
 "Bagaimanapun pada Januari 2009 kadar kelahiran yang dicatatkan  menyamai jumlah dalam tempoh setahun, malah rata-ratanya pula ialah bayi  lelaki.
 
SEBUAH van musnah selepas serangan  di Hospital Darul Syifa di Gaza. 
  "Ia merupakan satu keajaiban, kita tahu bayi-bayi lelaki ini akan  membesar dan kemudiannya bakal menjadi pejuang seperti pejuang-pejuang  lain yang mati syahid dalam mempertahankan negara mereka," katanya.
 Bagaimanapun, para sukarelawan terpaksa keluar dari Gaza berikutan  ancaman tentera Israel yang dikatakan mahu memusnahkan terowong yang  menghubungkan Palestin ke Mesir.
 Walaupun berat hati, mereka terpaksa mengambil keputusan yang  menyedihkan itu atas dasar keselamatan kerana mendapat perkhabaran  Israel mula menyerang kawasan sempadan.
 "Biarpun perjalanan kami agak singkat, pengalaman yang dilalui cukup  menginsafkan, apa yang lebih penting kami mahu menyampaikan kekejaman  yang berlaku kepada masyarakat di luar sana," katanya.
Dari Kosmo Online.