Sunday, October 4, 2009

PADANG : Lebih empat kampung lenyap


SEKURANG-KURANGNYA empat buah kampung di Padang dipercayai lenyap akibat ditimpa tanah runtuh menyebabkan lebih 4,644 dipercayai tertimbus termasuk satu rombongan perkahwinan, kata seorang pegawai semalam.

Gegaran kuat berukuran 7.6 skala Richter pada Rabu itu menyaksikan ratusan buah kampung di kawasan berbukit Padang mengalami kerosakan menyeluruh.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam Pakaya berkata, perkampungan di Pulau Aiya, Lubuk Lawe dan Jumena di daerah Pariaman lenyap ditimbus tanah runtuh.

Tinjauan agensi berita AFP mendapati puluhan rumah penduduk dari bandar raya itu ke kawasan tanah tinggi hancur.

Pasukan pencari dan penyelamat tempatan berkata, dianggar lebih 400 orang dikhuatiri maut apabila empat buah kampung di tepi bukit itu runtuh tertimbus.

"Operasi menyelamat mangsa amat sukar kerana rumah mereka 'disedut' ke bawah tanah sedalam empat meter," kata seorang pegawai kerajaan yang dikenali sebagai Topan.

"Setakat ini, kami terpaksa menggunakan tangan untuk menggali tanah," katanya.

Beberapa mayat ditemui di sebuah sungai berdekatan dan dijangka banyak lagi akan timbul.

Satu pasukan 100 anggota telah tiba namun mereka tidak mampu mengalihkan pelbagai jentera berat ekoran kebanyakan jalan terputus dan sempit untuk dilalui.

Ketua delegasi Indonesia untuk Persekutuan Bulan Sabit dan Palang Merah Antarabangsa, Bob McKerrow berkata, rakaman foto udara menunjukkan kawasan pedalaman terjejas teruk.

Ratusan buah kampung ujarnya, terletak di dalam zon bencana dan sebahagian yang ditinjau melaporkan semua penduduk maut manakala yang hidup mengalami cedera parah.

Di bandar Padang, pasukan-pasukan penyelamat bersaing dengan masa untuk mencari mangsa yang hidup.

Harapan menemui mangsa selamat mulai timbul apabila polis menerima mesej ringkas (SMS) memberitahu ada lapan orang masih hidup terperangkap di bawah runtuhan Hotel Ambacang.

Sebelum itu, penyelamat menganggar 100 orang dipercayai tertimbus di dalam hotel tersebut manakala ratusan lagi di beberapa hotel, sekolah dan kediaman penduduk.

"Saya berasa yakin tentu ada yang masih hidup," kata ketua pasukan pakar dari Jepun, Yoshiaki Shimazu, yang datang dengan beberapa ekor anjing penyelamat.

Seorang pekerja bantuan, David Lange antara yang selamat. Lange yang berkhidmat dengan sebuah pertubuhan perubatan kecemasan SurfAid menceritakan pengalaman membawa keluar seorang wanita hamil sejurus sebelum bangunan runtuh.

"Saya tidak percaya masih hidup kerana mereka di belakang saya gagal keluar apabila hotel runtuh. Malah saya sempat menyambut seorang bayi dilahirkan wanita itu," katanya.

Ramai warga Barat dikhuatiri terperangkap di beberapa buah hotel sekali gus pasukan penyelamat asing dengan anjing pengesan dan peralatan inframerah mula memasuki Padang.

Ini kerana kumpulan penyelamat tempatan kurang peralatan dan ramai anggota turut terkorban. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan ribuan masih lagi terperangkap.

"Kami menganggarkan di antara 3,000 hingga 4,000 orang terkandas di bawah runtuhan dan 1,100 lagi maut, kata Koordinator Kemanusiaan PBB di Indonesia, El-Mostafa Benlamlih. - Agensi

Dari Kosmo.

Wan2day : Cuba kita renungkan dan fikirkan dengan menggunakan aqal dan iman. Betapa hampirnya hayat dunia ini yang semakin ke penghujungnya, adakah kita masih lagi membiarkan atau tidak mengambil tahu serta iktibar selagi negara ini belum ditimpana bala sedemikian rupa?? Orang sering mempersoalkan, kenapa negara Indonesia ini sering berlakunya bala2 ini? Negara mereka selalu melakukan maksiatkah atau kemungkaran?? Memang benar, bahkan seluruh dunia sudah tidak lagi takut akan perintah Allah, maka Allah turunkan sebahagian bala yang 'kecil' ini kepada sesetengah tempat. Supaya kita ini yang hamba2nya sentiasa bermuhasabah diri dan memikirkan kekuasaan Allah bahawa Allah mengkehendaki segala2nya. Tidak semestinya negara kita tidak dilanda bala, bahawa negara kita selamat dari peringatan Allah ini. Bersyukurlah dan sentiasa dekatkan diri padaNya dan memohon keampunan kerana kita sering kali melanggar perintahNya dan melihat akan kebesaran Allah ini yang tiada tanding kekuasaanNya...

No comments:

HAKCIPTA TERPELIHARA WAN2DAY 2010